Tuesday, 7 June 2016

Satay dan Kuah Satay

Majid Sate, Kg Baru in KL
http://www.dapurkakjee.com/2011/03/152-satay-dan-kuah-satay.html


Majid Sate berasal dari Alor Gajah, Melaka. Mula meniaga sate lewat 40-an dengan membawa kandar dari Melaka hingga ke Port Dickson. Lepas itu beliau berhijrah ke Kampung Baru, Kuala Lumpur. Di situlah dia melebarkan sayapnya.

Majis Sate cukup famous di Kuala Lumpur. Tanya sahaja mereka yang pernah menikmati sate yang dihasilkan oleh Majid Sate di Campbell Road dulu (sekarang Wilayah complex). Baik yang Cina, Melayu, India dan lain2. Semua akan kata, sate Majid tiada tandingannya dengan sate yang dihasilkan peniaga lain.

Tetapi ramai jugak tidak tahu bahawa arwah Majid juga antara usahawan Melayu pertama di Malaysia (Malaya ketika itu), yang menghantar anaknya belajar ke luar negara dengan perbelanjaan sendiri.

Kjee ingat lagi arwah Bonda bercerita, datuk begitu kecewa apabila memohon biasiswa persekutuan untuk menghantar anak sulongnya Mohd Salleh belajar di London. Permohonannya telah ditolak kerana kononnya mana mungkin anak seorang penjual sate boleh berjaya belajar di luar negara!

Dek kerana kecewa dengan penghinaan yang dilemparkan, datuk pun mengeluarkan belanja sendiri untuk menghantar anaknya belajar Mine Engineering di United Kingdom. Pak Long kembali beberapa tahun kemduian dengan segulung ijazah dalam bidang Engineering!

Jawatan terakhir arwah Pak Long Kjee, Datuk Mohd Salleh Majid ialah sebagai Chief Inspector of Mines Malaysia! Kini beliau sudahpun arwah.

Atuk pernah beritahu Kjee, untuk berjaya sebagai usahawan dalam negara yang mempunyai masyarakat majmuk, seseorang itu kena berkawan baik dengan semua orang tak kira bangsa mahupun keturunan. Arwah boleh bertutur dalam pelbagai bahasa tempatan. Seingat Kjee dia turut boleh bertutur beberapa dialek Cina

Dan kalau dia pergi ke pasar Chow Kit, tak heranlah kalau sekejap dia berbahasa Hokkien, sekejap Kantonis, sekejap cakap India dengan penjual kacang putih dan sekejap lagi vakap bahasa Benggali dengan penjual roti berbangsa Sikh.

Walaupun cita2nya untuk membuka restoran di London tidak kesampaian, namun dia hanya hidup untuk melihat Restoran Majid Satay House di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur lewat 60-an dulu.

Setelah pemergiannya, anak2nya Harris dan Rahman (kini keduanya2 arwah) dan anak bongsunya Norhayati, telah membuka rangkaian restoran Sate Anika, bermula di Bukit Bintang Plaza. Kini, rangkaian Restoran Sate Anika sudah tidak wujud lagi.

Al Fatihah buat HAJI ABDUL MAJID HUSSEIN.

---------------

A. SATAY

Bahan2nya:

600 gram daging batang pinang.
1 cawan gula pasir
2 batang serai
2 sudu besar kacang tanah 
1 sudu besar garam
1 sudu besar serbuk kunyit

Caranya:

Daging dibersih2kan urat2 dan lemaknya dan dihiris halus dalam sebesar ibu jari. Kacang tanah disangai tanpa minyak dan dibuang kulitnya. Ricik serai dan tumbuk halus, asingkan dan tumbuk pulak kacang tanah. Masukkan dalam besen semua bahan seperti  gula, garam, kunyit serbuk dan serai serta kacang tumbuk tadi. Gaul rata. Pastu masukkan daging tadi dan gaul sampai rata betul2. Perap selama dua jam. Jangan bubuh sebab air daging tu akan keluar setelah diperap hampir dua jam. Pastu, cucuklah guna lidi daun kelapa atau sekarang orang pakai lidi buluh. Kemudian bakarlah atas tempat bakar yang guna arang. Amik sebatang serai diketuk2 sikit, Kemudian bubuh sikit minyak dalam mangkuk campur air sesudu. Pastu celupkan serai dalam minyak dan tepuk atas satay masa bakar. Balik2kan. Hati2 jangan terbakar lidinya atau daging hangus. Satay ayam pun sama caranya. Beli isi dada ayam. 

(KALAU NAK BUAT SATAY GORENG, TAK PAYAHLAH CUCUK DAGING PERAP. GORENG SAHAJA DAN CURAHKAN KUAH DIATASNYA. ATAU DIMASUKKAN SATAY YANG TELAH DIGORENG DALM PERIUK KUAH)


B. KUAH SATAY

Ada macam2 versi kuah sate. Keluarga sebelah bapak Kjee kat Melaka pun jual sate. Dia orang bubuh biskut Marie sebab nak bagi kuah dia pekat. Ntahlah Kjee dah lupa rasenyer. Tapi kuah sate Majid Satay guna kacang tanah 100% so very de ori. Pastu kita orang guna gula Melaka bukan gula putih. Gula melaka lagi lemak kata arwah mak. Resipi untuk kuah ialah:

Bahan2nya

600 gm kacang tanah yang telah disangai
5 biji bawang besar
½ cawan cili kering dikisar
1 cawan gula melaka
1 cawan minyak 
garam secukup rasa

Cara: 

Kacang tanah mestilah cukup masak sewaktu disangai. Dibuang kulit, disejukkan dan direndam seketika sebelum dikisar. Ketika kisar dalam blender, guna air secukupnya untuk gerakkan blender. Jangan terlalu banyak sangat air. 

Bawang besar di mayang. Kemudian panaskan periuk guna 1 cawan minyak dan tumislah bawang hingga wangi. Kemudian masukkan cili kering kisar dan goreng sampai naik minyak. Apabila sudah naik minyak, masukkan kacang yang telah diblend. Air juga dimasukkan sebenyak kira2 dua cawan. Bila sudah mendidih, masukkan gula melaka dan garam. 

Kuah satay akan menjadi pekat apabila ia sudah sejuk. Jadi, pandai2lah nak agak banyak mana air yang hendak diletak.

Selain makan satay dengan kuah dan nasi himpit, sedap jugak kalau dihiris bawang, cili api bubuh kicap dan dimakan bersama satay. Selain itu, hirisan timun juga suatu kemestian. Selamat mencuba. 


0 comments: